Pengambilan tomato dalam diet harian dikatakan baik untuk mengelak barah.
BETULKAH tomato membantu mengelak barah, bawang putih dapat mencegah AIDS atau minum banyak jus buah- buahan menjauhkan diri daripada Nyanyuk atau Alzheimer?
Meskipun sudah banyak kajian dijalankan, kesan makanan ke atas penyakit-penyakit yang membawa maut masih belum mampu dibuktikan secara total.
Begitupun, ahli sains percaya bahawa kualiti amalan pemakanan atau diet yang seimbang adalah kunci kepada kesihatan yang baik.
Malah, kerajaan di kebanyakan negara di dunia kerap menggesa rakyatnya untuk mengamalkan corak pemakanan seimbang iaitu - Lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran dan Tiga bahagian produk susu dan karbohidrat, manakala lemak, gula dan minuman keras dikurangkan.
Para pakar percaya, apa yang kita makan dapat membantu mengelakkan penyakit seperti Diabetes, Hypercholesterolaemia (yang membawa kepada penyakit jantung) dan Osteoporosis.
Bagaimanapun, para penyelidik masih bercanggah pendapat terhadap hubungan secara langsung antara khasiat makanan dengan penyakit- penyakit seperti barah, AIDS atau penyakit yang berkaitan kemerosotan fungsi saraf (neurodegenerative).
Antara beribu-ribu kajian, satu kajian dilakukan oleh pakar-pakar di Eropah telah menyimpulkan bahawa mengambil serat buah-buahan dan sayur-sayuran mungkin dapat mengurangkan risiko barah usus.
Buah-buahan juga dipercayai dapat melindungi diri daripada jangkitan kanser paru-paru dan prostat. Kajian para pakar Eropah juga menyarankan pengambilan Lima cawan teh hijau sehari. Teh hijau dipercayai kaya dengan catechin - bahan polyphenolic anti-oksidan daripada tumbuh-tumbuhan.
Lemak industri atau lemak yang terhasil melalui proses industri, sememangnya diketahui memberi kesan kepada sistem kardiovaskular dan meningkatkan dua kali ganda barah payu dara, sedangkan kacang soya dapat mengurangkan risikonya sebanyak tiga kali ganda.
Bagaimanapun, kacang soya yang kaya dengan anti-oksidan dan membantu sel hidup, boleh meningkatkan risiko ketidaksuburan.
Lycopene, iaitu pigmen merah terang bersifat anti-oksidan yang ada di dalam tomato dan buah-buahan merah lain, juga didapati oleh sebilangan penyelidikan mampu mengurangkan risiko barah, tetapi Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) menyatakan tidak ada bukti kukuh mengenai dakwaan itu.
Begitupun, alzheimer atau nyanyuk dapat dikurangkan dengan pengambilan pomegranate atau buah delima.
Sememangnya, tidak ada istilah makanan baik atau buruk. Bagaimanapun, mengambil lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengurangkan lemak haiwan, merupakan satu tabiat makanan yang baik yang boleh difikirkan oleh sesiapa saja.
Pakar dari Pusat Penyelidikan Makanan dan Kanser Perancis, NACRe, menyebut bahawa diet yang melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan tidak terlalu banyak alkohol akan membantu mengelakkan kanser pada mulut, saluran pernafasan, paru-paru, perut, pankreas, usus dan pundi kencing.
Selepas mengumpulkan lebih 7,000 kajian dari seluruh dunia, Dana Penyelidikan Kanser Dunia (WCRF) menyarankan masyarakat mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak, serta mengelakkan makanan yang rendah serat. Sebaliknya, makan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan sebagainya..
Corak pemakanan yang baik juga kunci kepada rawatan terhadap pesakit HIV positif memandangkan kekurangan khasiat makanan melemahkan sistem kekebalan tubuh dan mengurangkan ketahanan badan.
Bagaimanapun, makanan yang baik tidak boleh menggantikan anti-retroviral yang perlu diambil oleh pesakit AIDS walaupun terdapat dakwaan oleh Menteri Kesihatan Afrika Selatan, bahawa bawang putih, lemon dan sayur-sayuran dapat memerangi penyakit yang membawa maut itu.
Thursday, November 6, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)