|
DR. Ahmad Shukri (kiri) bergambar bersama doktor dari negara lain, dua dari China, satu dari Amerika Latin dan dua dari Thailand. |
Masyarakat Islam di Malaysia, amalan berpuasa sudah menjadi satu kebiasaan yang disambut dengan pelbagai cara, terutamanya memperbanyakkan ibadat. Namun, bagaimana pula dengan masyarakat Islam Malaysia di luar negara menunaikan kewajipan ini? Tentu ramai ibu bapa dan saudara mara tertanya-tanya bagaimana keadaan orang tersayang melalui ibadah puasa di negara orang. Mengingatkan kembali `perangai’ kebanyakan ibu bapa negara ini, terlintas bagaimana beg-beg pelajar Malaysia sering `ditangkap’ penuh dengan pelbagai bekalan makanan tempatan, terutamanya jika mereka tidak dapat pulang menyambut perayaan di sini.
Berkongsi pengalaman
Untuk menyingkap situasi berpuasa di negara orang, Mingguan Malaysia berkongsi pengalaman Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh yang sedang menjalani kursus kepakaran Endoskopi Ultrasound (EUS) di Interdisziplinare Endoskopie, Universitatsklinikum Hamburg Eppendorf, Jerman.
“Saya dan beberapa rakan sekerja sedang menimba ilmu pengetahuan dan teknologi perubatan dari doktor pakar di sini yang telah lama mengendalikan prosedur EUS dan Advanced Endoskopi.
“Pakar di Jerman terkenal sebagai antara terbaik di dunia di samping hubungan baik mereka dengan doktor Malaysia, memudahkan urusan latihan dijalankan di universiti berkenaan,” katanya.
Walaupun kursus tersebut melangkau ke bulan Ramadan, Dr. Ahmad Shukri tetap nekad supaya tidak ketinggalan berikutan perkembangan pesat teknologi perubatan jauh berbeza berbanding lima atau 10 tahun lalu.
Tambahnya, peluang untuk meningkatkan pengetahuan diri serta mengembangkan teknologi melalui penyelidikan, persidangan atau latihan tertentu tidak sepatutnya dilepaskan, walaupun memerlukan sedikit pengorbanan.
Cabaran
Dr. Ahmad Shukri menceritakan bagaimana bahasa Jerman sukar dipelajari dan difahami sedangkan tidak ramai rakyat Jerman yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Tidak ramai keluarga Melayu di sini (Hamburg), menyebabkan wujud sedikit jurang komunikasi. Makanan di sini juga agak mahal dan kebanyakan makanan halal hanya boleh diperoleh dari kedai peniaga Turki, Arab dan Pakistan,” ujarnya.
Menurutnya, kebab kambing berharga tiga euro (RM16), air pepsi 1.20 euro (RM6) sebotol sementara harga makanan di restoran pula lebih mahal .
Namun, beliau memaklumkan wujudnya kedai masakan Melayu, Restoran Cita Rasa, yang diusahakan oleh Safian Ramzi atau di kenali sebagai Pak Cik Abdullah yang telah menetap di Jerman lebih dari 25 tahun. Di- sinilah tempat beliau melepaskan kerinduan masakan Malaysia.
Puasa perantauan
Seperti mana-mana warga Malaysia, rindu terhadap keluarga sentiasa menebal dan untuk mengubat rindu, Dr. Ahmad Shukri menggunakan kemudahan Internet untuk menatap wajah keluarga tercinta di Malaysia.
Dr. Ahmad Shukri teringat kembali betapa enaknya masakan ibu dan isteri ketika berpuasa di Malaysia, disediakan tanpa sebarang keluhan.
“Di sini perlu fikir di mana dan makanan apa untuk berbuka. Ini pengalaman ketiga berpuasa di perantauan selain tahun 1998 dan 1999 ketika menjalani kursus Gastroenterologi di England.
“Puasa di England lebih mudah kerana ramai rakyat Malaysia dan juadah tradisional negara lebih mudah diperoleh,” jelasnya.
Dr. Ahmad Shukri sebelum ini mendapat dorongan untuk mengikuti kursus berkenaan hasil galakan Pakar Perunding Gastroeterologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Salem Omar.
“Kakitangan hospital tahu mengenai tanggungjawab umat Islam berpuasa dari Dr. Salem yang pernah berada di universiti ini selama empat tahun sebelum ini. Dr. Salem juga banyak berkongsi maklumat mengenai Islam, masakan tradisional dan negara kita bersama kakitangan di sini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan antara cabaran berpuasa di Jerman adalah masa puasa lebih panjang, dengan waktu subuh pada pukul 4.30 pagi dan maghrib pada pukul 8.15 malam.
Dr. Ahmad Shukri bersahur di rumah dan berbuka di rumah rakan atau masjid berhampiran, antara 100 masjid yang berdiri tegak di Hamburg.
“Berbekalkan rempah siap dibungkus dan ditambah ayam, masakan ringkas dan mudah disediakan di rumah.
“Di Hamburg, majlis berbuka turut diadakan di surau Terminal 1, Lapangan Terbang Hamburg setiap hari, konsulat Indonesia pada hari Jumaat dan Sabtu dan di Universiti Hamburg pada hari Rabu ,” katanya.
Menurut beliau, terdapat empat juta orang Islam di Jerman, kebanyakannya berbangsa Turki. Di Hamburg, hanya terdapat kira-kira 50 orang rakyat Malaysia, antaranya sembilan orang pelajar. Solat tarawih pula mengikut bangsa ahli masjid, lapan rakaat di masjid Arab dan 20 rakaat di masjid Turki, dengan tazkirah selepas setiap empat rakaat.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, Malaysia negara tercinta dan bertuah rakyatnya. Walaupun dari luar, negara lain tampak lebih menyeronokkan, namun keistimewaan negara kita sendiri jauh mengatasinya,” tegasnya.
Beliau menyatakan negara kita kaya dengan pelbagai pilihan makanan, tempat menarik serta kos hidup yang jauh lebih rendah.
“Berbanding dengan rakyat dari negara lain, kebanyakan rakyat negara kita di perantauan, lambat-laun akan kembali juga ke Malaysia, negara tercinta,” katanya.
Ini menunjukkan Malaysia mempunyai kelebihan dan pautan yang senantiasa menarik rakyatnya untuk pulang ke tanah tumpah darah.